Friday, May 8, 2009

ROSELLE BENTONG : EN. YUSOF JOHORI

BERILAH gelaran apa sahaja kepadanya sama ada bekas tentera, peladang jaya, usahawan gigih atau sekadar anak didik Jabatan Pertanian. Yang pasti, dunianya kini hanyalah roselle, satu daripada tanaman industri yang sedang giat dipromosikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Roselle atau ramai yang mengenalinya sebagai asam paya, satu tanaman yang cantik terutama pada buahnya yang bagaikan sebuah mahkota dari segi bentuk dan warnanya yang merah. Bagi Md. Yusof Johori, warna dan bentuk roselle bukanlah tanaman lain yang lebih menarik, malah jauh lebih menarik serta berbau wangi. Dia lebih ‘terpaut’ dengan khasiat tanaman yang tergolong dalam keluarga bunga raya dan pokoknya yang menyerupai kacang bendi dan itulah nilai ekonominya.

Roselle dikenal pasti sebagai tanaman industri yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi sumber ekonomi sama ada untuk melahirkan usahawan dan juga menyelamatkan tanah-tanah terbiar. Jabatan Pertanian Daerah Bentong, Pahang telah mengenal pasti potensi itu dan kini merancang untuk memulih kawasan seluas 60 hektar (150 ekar) di sekitar Kampung Benus untuk dimajukan dengan tanaman tersebut.

Menurut Penolong Pegawai Pertanian Daerah Bentong, Khairul Zamar Zakaria, projek pembangunan projek melibatkan industri huluan dan hiliran iaitu dari penanaman hingga ke pemerosesan produk. Cadangan projek termasuk penanaman di Kampung Benus (10 hektar) dan tambahan di Kg Lebu dan Mempaga (lima hektar) bengkel roselle Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Karak, pembinaan kilang mini di bawah aperantis Kompleks Pertanian Bentong.

“Tempoh yang diperlukan untuk projek tersebut ialah selama antara 20 dan 30 tahun dan boleh disambung sekiranya berjaya dibangunkan,” katanya ketika di temui di Kompleks Pertanian Bentong baru-baru ini.

Md. Yusof antara usahawan yang telah dilahirkan di bawah projek tersebut dan pengusaha terbabit kini seratus peratus menumpukan kepada industri roselle selain mengusahakan sayur-sayuran secara kecil-kecilan, usaha awalnya sebelum itu. “Saya tertarik dengan khasiat vitamin C yang tinggi dalam roselle selain tidak ada penguasa yang terbabit dalam pemerosesan di Bentong,” ujarnya. Justeru, dia menggalas cabaran tersebut dengan memulakan tanaman sebanyak 250 pokok di kawasan rumah berkeluasan 60 kaki persegi, bermodalkan hanya RM200 pada 2005. Penghujung tahun tersebut, dia memperluaskan kawasan penanaman kepada 5,000 pokok dengan pembukaan kawasan baru di Kampung Benus seluas 0.8 hektar (dua ekar).

Sebahagian dari hasil tanaman dipasarkan secara segar manakala bakinya untuk diproses. Md. Yusof yang juga Pengurus syarikatnya Yuszelle Enterprise mengambil langkah susulan tersebut dengan mengeluarkan produk berasaskan roselle seperti kordial, acar dan halwa kerana berpendapat pasaran segar semata-mata mengundang risiko. Dia menghasilkan kordial di kawasan Pusat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) PPK Bentong manakala acar dan halwa dihasilkan dari rumah.

Untuk itu dia memohon modal tambahan dari PPK Bentong bermula tahun lalu berjumlah RM50,000, selain bantuan Bank Pertanian Malaysia RM10,000. Bantuan modal itu perlu kerana dia sedang meluaskan lagi kawasan penanaman dengan pembukaan kawasan baru seluas 10 hektar. Hari ini dia mampu mengeluarkan 500 liter kordial atau 150 botol sebulan. Menurut beliau, usaha penanaman roselle tidak terlalu rumit. Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah memastikan air tidak bertakung dan kerja-kerja penuaian perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan ia tidak rosak terutama pada bahagian kaliks buah.

Roselle sesuai ditanam di tapak semaian sebelum dipindahkan ke ladang. Buah boleh dituai selepas 80 hari ditanam dan jangka hayat pokok boleh bertahan sehingga enam bulan. Dalam tempoh itu, sepokok roselle mampu mengeluarkan buah sebanyak empat kilogram. Sementara itu menurut Khairul Zamar, kilang pemerosesan di Kompleks Pertanian Bentong yang sedang dalam fasa akhir pembinaan dan memasukkan kelengkapan peralatan akan digunakan sebagai pusat pengeluaran produk proses selain pusat bimbingan melahirkan usahawan baru.

“Kita akan jadikan Md Yusof sebagai mentor kepada 15 peserta baru yang bakal dilahirkan dalam projek ini,” ujarnya.

Fakta ringkas roselle

● Nama saintifik: Hibiscus sabdariffa L.
● Jolokan : SekuntumRoselle Sejuta Khasiat
● Khasiat: Kaliks buah mengandungi vitamin C sebanyak dua kali ganda berbanding blackcurrant, sembilan kali ganda berbanding citrus dan tiga kali ganda berbanding anggur.
● Mengandungi vitamin lain seperti A dan D, B1, B2 dan B2 kompleks serta zat mineral seperti kalsium dan fosforus.
● Boleh dimanfaatkan dalam industri makanan dan minuman dengan penghasilan halwa, acar dan kordial dan jus selain industri kosmetik, barangan mandian dan wangian, farmaseutikal dan industri biomas seperti ternakan, gentian dan kertas.
●Sehingga kini terdapat 14 buah syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) di beberapa negeri yang berkecimpung menghasilkan produk proses daripada roselle
● Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menggerakkan Majlis Industri Roselle Malaysia, (MIR) dipengerusikan Ketua Pengarah, Jabatan Pertanian bagi melaksanakan Pelan Strategik Industri Roselle Negara pada 2002.
● Ia disertai oleh pengeluar, pengilang, pemasar dan penyelidik berkaitan roselle terdiri daripada 10 buah universiti agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti SIRIM Berhad, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Agensi Nuklear Malaysia,Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan profesional daripada MOA Inc.
● Tanaman roselle adalah antara yang tersenarai dalam kumpulan produk baru dan industri masa hadapan dan diterima untuk dibangunkan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3).
●Malaysia memiliki roselle yang terbaik di dunia.
● Satu dunia sudah mengetahui pokok roselle tetapi dikenali dengan pelbagai nama iaitu karkade di Afrika, hibiscus atau roselle (Eropah) dan florida cranberry di Amerika Syarikat.

Objektif projek penanaman roselle di Bentong

● Membangunkan tanah-tanah terbiar kepada satu projek pertanian bersepadu bagi mendatangkan pulangan hasil tinggi dan menguntungkan.
● Meningkatkan pengeluaran bahan tanaman berasaskan pemerosesan makanan untuk memenuhi permintaan semasa.
● Meningkatkan bekalan bahan mentah kepada industri pembuatan negara
● Mewujudkan satu kawasan yang boleh dijadikan lokasi strategik pelancongan tani di Bentong.
● Membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar di samping menjana ekonomi kawasan setempat.

Fasa pembangunan projek roselle Bentong

● Seluas 0.8 hektar (dua ekar) telah ditanam dengan 5,000 pokok.
● Hasil 10 tan yang mana lima tan dijual secara segar dan bakinya diproses.
● Lima tan yang diproses dijadikan
– kordial sebanyak 7,500 botol
– acar roselle sebanyak 1,000 botol
– halwa sebanyak 2,000 botol
● Pendapatan kasar sebanyak RM75,000.
● Pendapatan bersih RM15,000.
● Modal sebanyak RM55,000 termasuk peralatan dan mesin dan RM5,000 untuk penyenggaraan.
● Promosi dijalankan di sekolah, aktiviti atau program gotong-royong, sukaneka dan kebajikan


http://www.moa.gov.my/html/download/buletin/agrobiz/mei_07.pdf

Tuesday, May 5, 2009

PAMERAN HALIA BENTONG - MyIPO, KLCC



Pameran diadakan di KLCC Convention Centre, KL
pada 23-25 April 2009

Majlis Dirasmikan oleh Y.B. Dato' Sri Ismail Sabri, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)